Wednesday, February 15, 2012

misi mencari solehah =)

Tamatkan Penantian Itu

Ada ungkapan yang mengatakan sukarnya mencari wanita yang solehah sama seperti mencari gagak putih. Ungkapan ini ada kebenarannya, terutama kita yang hidup di akhir zaman ini. Namu apa pun cabarannya, wanita yang solehah tetap menjadi idaman semua lelaki, khususnya lelaki yang beriman. Malah, lelaki yang jahat sekalipun, tetap inginkan wanita yang solehah sebagai pasangan hidupnya. Apa nak dihairankan, bukankah si pengotor pun sukakan kebersihan?

Secara ringkas, mencari isteri yang solehah mestilah bermula dengan ilmu. Kita mesti ada ilmu tentang ciri ciri wanita solehah. Dengan ilmu, kita boleh menyuluh sifat sifat seorang wanita yang solehah secara ilmiah. Tanpa ilmu, kita akan terkeliru, yang mana intan, yang mana kaca. Untuk mendapat ilmu, kita perlulah mengaji dan mengkaji isi kitab kitab, buku buku dan menghadiri majlis pengajian yang disampaikan oleh para ustaz dan alim ulama.

Menerusi ilmu, kita dapati terlalu banyak kriteria seorang wanita solehah. Antara ciri ciri wanita solehah itu ialah menjaga solat, taat ibu bapa, berakhlak, menutup aurat dan lain lain perintah dalam ajaran Islam. Itu baru soal lahiriah yang ketara oleh penglihatan mata. Namun ciri wanita solehah bukan sekadar sifat luaran, tetapi ia juga menyentuh sifat dalaman seperti memiliki sifat sabar, redha, syukur, pemurah dan lain lain.

Jika ini menjadi ukuran, mencari yang solehah memanglah sukar sebab menilainya samalah seperti meneropong ke dalam hati seseorang. Kata orang, yang menutup aurat pun belum tentu solehah. Kata orang 'kulit' yang baik belum tentu isinya juga baik. Jadi bagaimana ya? Jangan dipersukarkan. Mari kita permudahkan. Caranya cukup ringkas dan mudah. Tidak payah bersusah payah hendak mengukur atau 'meneropong' iman dan taqwa orang lain. Caranya ialah : Jadikan diri kita dahulu calon suami atau lelaki yang soleh!

Kenal pasti dahulu ciri ciri suami yang soleh, kemudian bina semua ciri itu di dalam diri sendiri terlebih dahulu. Muhasabah pula soal hati, soal dalaman.. muhasabah iman dan taqwa kita sendiri. Bisikkan ke hati, apakah kita telah menjadi seorang lelaki yang soleh atau sekurang kurangnya sedang berusaha menjadi soleh? Padankan sifat sifat orang yang soleh dengan diri sendiri. Sudah ada atau belum? Jawab dengan jujur. Hai, itu sukar kan? Memang sukar. tetapi itu tentunya jauh lebih mudah daripada hendak mengukur iman di hati orang lain.

Inilah kaedah yang paling tepat untuk mendapat isteri yang solehah. Mungkin cara ini agak lambat, tetapi inilah cara yang paling tepat. kaedah ini ada kelebihannya. sebab kunci kejayaannya terletak pada diri sendiri. lebih cepat kita membina sifat sifat soleh.. maka lebih cerahlah peluang untuk mendapat isteri yang solehah. semuanya bermula dengan usaha terhadap diri sendiri.

Kita harus malu kepada Allah (dan diri kita sendiri juga), jika kita inginkan jodoh yang baik sedangkan diri kita tidak baik. kekadang lucu juga bila mendengar cerita betapa ada pemuda yang tunggang langgang hidupnya di bandar, kaki botol, berpeleseran, berjudi dan lain lain perbuatan maksiat tetapi bila hendak berumah tangga minta ibu carikan wanita yang solehah di kampung.

Apa pandangan kita tentang ini? apakah kaedah ini boleh berjaya? jika anda seorang wanita, sanggupkan anda menerima lelaki yang semacam itu? saya tidak persoalkan kewajaran kita mendidik selepas berkahwin nanti, tetapi jika diberi pilihan apakah pilihan anda? tentulah anda menolak calon suami yang sedemikian. pada kaum lelaki yang seperti itu, kita ingin mengingatkan, tergamakkah kita menipu orang lain dan menipu diri sendiri apabila kita inginkan yang baik sedangkan kita tahu akan keburukan diri sendiri?

Jadi marilah kita segera tamatkan penantian akan kedatangan wanita solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan ciri ciri seorang lelaki soleh pada diri sendiri. ubahlah diri, untuk merubah orang lain. tegasnya, jika kita menjadi soleh, maka solehah akan muncul dengan sendirinya. Ingat, jadilah soleh, bukan carilah solehah! Yakinlah janji Allah melalui firmanNya, ..dan wanita wanita yang baik untuk lelaki lelaki yang baik.. An Nur, 26.

Namun jika belum ketemu juga, bisikkanlah ke dalam hati.. Aku belum lagi menjadi soleh, sebab itu Allah belum kurniakan aku seorang wanita yang solehah sebagai isteri! <3
Wallahua'lam

No comments: