Sunday, February 12, 2012

Bang, bahagiakah kita?




"kita tidak akan bahagia selagi orang disisi kita tidak bahagia..."


Assalamualaikum wbt.
Saya terbaca sebuah buku dan tertarik dengan diolog satu pasangan ni,
mereka sudah lanjut usia tetapi masih sayang menyayangi lagi. jum kita selami
setiap bibit diolog mereka.

Malam dingin dengan sapaan angin membelai sekali sekala. saya renung wajahnya. jelas sudah retak retak pada pelipis matanya.
pipinya, walaupun masih merah seperti dulu, tapi sudah ada riak riak kedutan yang mula bertamu.
"bang, bahagiakah kita?"
masih terngiang ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
"bahagia itu di mana?" tanya saya semula.
dia diam. matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
"terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama,"kata saya.
pertanyaannya terus ternganga. saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. kekadang, soalan dan luahan... sukar dibezakan.
dalam suram wajahnya saya renung. mata kami bertembung. tidak ada bicara, namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. satu demi satu. masih harum rasanya kenangan malam itu. waktu kali pertama tangan kami bersatu. jari jarinya berinai merah. seri wajahnya seakan purnama menghiasi kamar pengantin. tapi sekarang... jari jari itu tidak sehalus dan semulus dulu. telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris keperitan. pun seri wajahnya, retak juga dipagut usia.

masih saya ingat kata kata malam pertama kami...
"apa perasaanmu?"
dia senyum.
"saya bahagia"
"hari ni boleh jadi bahagia.. tapi insyaAllah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui bersama. berdoalah sepertimana mukadimahnya, begitulah nanti nahtijahnya..." kata saya seakan berbisik. senyum kami menguntum. oh, alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. tetapi akhirnya 'mentari' kehidupan pun menyala petanda 'bulan' bermadu telah berakhir. hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.
dan hari demi hari terus berlalu. musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat usia. puter dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. tribulasi datang dan pergi. berpindah dari satu daerah ke satu daerah. roda kehidupan berputar laju. kekadang di atas, sering juga di bawah. ada ketikanya, senyum, suka dan ceria. acapkali juga ada muram, duka dan air mata. anehnya, dia terus bersama saya. kadang tegurannya tajam, menikam.. saya pedih. namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga-itu kerana sayang. pernah juga belaian dan manjanya melekakan...mujur hati sering diingatkan-dia adalah 'hadiah' Allah untuk saya. masakan hadiah lebih besar daripada Pemberinya?



Kekadang koleh rumah tangga gegar dipukul gelombang. untunglah, kesabaran masih mampu bertahan.. pelayaran pun diteruskan.
"bahagiakah kita?"
soalan itu kembali mengusik rasa.
"di mana bahagia itu? di hujung atau dipangkalnya?"
lalu saya temukan jawapannya...
"bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga dihujung jalan.. tetapi ia ada di sepanjang jalan"
"bahagia itu apa?"
sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. mencari kata untuk menggambarkan rasa. mampukah?
"bahagia itu ketenangan!" kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
"ketenangan itu apa?"
"hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. susah mahupun senang, miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian.. sama sahaja"
"bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?"
"ingat Allah.. hati akan menjadi tenang"
bertalu talu monolog diri itu menerjah kamar hati. apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama... terburai semuanya pada malam ini - ditusuh sebuah pertanyaan: "bang, bahagiakah kita?"
"tanpa Allah, tiada ketenangan. tanpa ketenangan tiada kebahagiaan"
"isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. tapi ketenangan itu dapat dirasai. jika kau tanyakan, bahagiakah kita? ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita... kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan Dia - Tuhan kita!"

"bang, apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?"
"jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu.. apakah aku telah tenang?"
"kenapa?"
"hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan.."
"ah, semakin sukar pula mencari jawapan.. semakin diselam, semakin dalam"
malam kian larut di kolam buana. mata saya kembali merenung wajah isteri. dia yang tidak pernah meninggalkan saya ketika apa pun jua. ketika orang memuji, dia mengingatkan. ketika orang mengeji, dia menggiatkan. bagi saya itulah ketenangan yang dihadiahkannya.. walaupun mungkin itu hanya serpihan dari hakikat ketenangan yang hakiki. namun itu pun sudah memadai. monolog hati saya tergema :
"isteriku, apakah perjalanan kita ini masih panjang ataupun pendek.. entalah, aku tidak pasti. namun, selagi antara kau dan aku masih ada DIA - Tuhan kita.. selama itulah kita akan tenang. jika kau ingatm kaulah sumber ketenanganku. jika aku ingat, akulah sumber ketenanganmu. jika kita sama sama mengingatinNya, maka bahagialah kita. sebaliknya jika kita sama sama lupa... musnahlah kita"
lalu dalam suram kamar yang sederhana.. saya sentuh tangannya. walaupun tidak halus dan mulus seperti dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. kali ini bukan rasa tahap rendah yang membara. tapi rasa tahap tinggi yang menyala nyala. isteriku.. kita bahagia!

"sebaik baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkkau tiada di rumah"
(riwayat Thabrani daripada Abdullah bin Salam)

sepintas lalu,
  • bahagia itu ketenangan - hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana.
  • hati akan tenang apabila mengingati Allah
  • hanya orang yang tenang dapat memberi ketenangan.

No comments: